KUALA LUMPUR, 20 Jun 2026: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terus mencuri perhatian di Grand Prix (GP) Republik Czech apabila mengesahkan tempat di petak kedua selepas aksi cemerlang pada sesi kelayakan di Litar Brno, hari ini.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mencatat masa 2 minit 04.080 saat, hanya 0.017 saat di belakang pelumba Sepanyol, David Almansa yang meraih petak utama.
Lebih membanggakan, Hakim Danish turut memecahkan rekod terpantas sepanjang zaman di Brno sebanyak dua kali dalam tempoh sehari meskipun kali pertama berlumba di litar berkenaan.
Pelumba berusia 19 tahun dari Terengganu itu sebelum ini turut muncul pelumba terpantas keseluruhan pada sesi latihan.
Keputusan tersebut menjadi pencapaian terbaik buat Hakim Danish selepas kecewa di GP Hungary dua minggu lalu apabila perlumbaannya terjejas akibat insiden dengan pelumba lain ketika sedang memburu keputusan positif.
Dengan kedudukan di barisan hadapan serta prestasi memberangsangkan sepanjang hujung minggu, Hakim Danish kini berada pada landasan terbaik untuk memburu podium dan menambah kutipan mata dalam saingan Kejuaraan Dunia Moto3 di Brno esok.
