KUALA TERENGGANU, 20 Jun 2026: Himpunan motosikal terbesar negara, RXZ Members 8.0, akan tetap berlangsung pada 31 Julai hingga 1 Ogos depan walaupun tarikh penganjurannya bertindih dengan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan daripada penganjurnya, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk komitmen yang telah dipersetujui bersama peserta, penaja dan agensi terlibat.
Beliau berkata, pihaknya menyedari ada dalam kalangan peserta yang kecewa susulan pertindihan tarikh berkenaan, namun perubahan jadual pada saat akhir bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
"Kami menghargai setiap pandangan yang diberikan dan memahami kesulitan yang dihadapi oleh sebahagian peserta. Namun, setelah mempertimbangkan semua aspek, kami memutuskan untuk meneruskan penganjuran mengikut jadual asal," katanya menerusi kenyataan di media sosial rasmi RXZ Members, hari ini.
Menurutnya, peserta dari Negeri Sembilan yang tidak dapat hadir kerana perlu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tidak akan dipinggirkan daripada komuniti tersebut.
"Menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi adalah hak dan pilihan masing-masing. Walaupun tidak dapat bersama pada kali ini, anda tetap sebahagian daripada keluarga besar RXZ Members dan kita akan bertemu lagi pada masa akan datang," katanya.
Tambah beliau, kekuatan RXZ Members bukan terletak pada acara tahunan semata-mata, sebaliknya pada semangat persaudaraan yang terus mengikat komuniti peminat motosikal itu di seluruh negara.
