KUALA TERENGGANU, 24 April 2026: Impian anak muda memiliki rumah sendiri di Terengganu semakin menjadi kenyataan apabila seramai 1,880 belia berusia 21 hingga 40 tahun berjaya mendapat kediaman menerusi pelbagai skim perumahan kerajaan negeri sejak 2018 hingga 31 Mac 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, rumah berkenaan melibatkan beberapa projek di seluruh negeri termasuk RMM Seri Bandi (Kemaman), RPMM Pulau Redang (Kuala Nerus), RMM Padang Setengge (Hulu Terengganu) dan PRR Bukit Nenas (Kuala Nerus).
Menurut beliau, projek sama turut dilaksanakan di daerah lain seperti Marang, Besut dan Dungun bagi memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan golongan muda.
Katanya, sambutan terhadap skim berkenaan terus meningkat apabila seramai 33,796 belia telah mendaftar dalam sistem e-Perumahan setakat Mac lalu untuk memiliki rumah pertama.
“Angka ini menunjukkan permintaan terhadap rumah mampu milik dalam kalangan anak muda sangat tinggi. Kerajaan negeri komited membantu mereka memiliki rumah tanpa terbeban hutang jangka panjang,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Penggal Keempat DUN Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, semalam.
Beliau berkata, antara inisiatif utama ialah menawarkan Rumah Mampu Milik (RMM) pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran semasa iaitu serendah RM90,000 bagi Jenis A dan RM185,000 bagi Jenis B.
Malah, sebanyak 10 peratus kuota khas turut disediakan bagi pasangan belia yang telah berkahwin untuk membantu mereka memulakan kehidupan berkeluarga dengan lebih selesa.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga menyediakan skim pembiayaan tanpa faedah selain menjalinkan kerjasama strategik dengan kerajaan Persekutuan dan beberapa agensi bagi memastikan lebih banyak rumah mampu milik dapat dibina untuk rakyat Terengganu.
