PKBM Sebulat Suara Tukar Nama Velodrom Nasional Kepada Velodrom Azizulhasni


KUALA LUMPUR, 3 Mei 2026: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meluluskan usul menamakan semula Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan sebagai Velodrom Azizulhasni sebagai tanda penghargaan terhadap jasa besar Azizulhasni Awang dalam mengangkat martabat sukan berbasikal negara di pentas antarabangsa.


Presiden PKBM, Amarjit Singh Gill berkata, cadangan itu dipersetujui sebulat suara oleh ahli gabungan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini dan akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia untuk pertimbangan lanjut, memandangkan kemudahan berkenaan adalah milik kerajaan.


Menurut beliau, sumbangan dan pencapaian Azizulhasni yang konsisten di peringkat dunia wajar diabadikan melalui penamaan semula velodrom tersebut, namun mengakui proses itu bukan sesuatu yang boleh diputuskan dalam tempoh singkat.


“Keputusan ini akan dibawa kepada pihak KBS serta Majlis Sukan Negara. Bagaimanapun, ia mungkin mengambil masa antara satu hingga dua tahun sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat,” katanya ketika ditemui media.


Amarjit turut memaklumkan, sekiranya cadangan itu diluluskan, Velodrom Azizulhasni di Dungun, Terengganu akan ditukar nama bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang ramai.


Velodrom Nasional yang menelan kos kira-kira RM80 juta itu sebelum ini dirasmikan pada 2017 oleh lima pelumba elit negara, termasuk Azizulhasni sendiri, dan menjadi antara fasiliti utama pembangunan sukan berbasikal trek di Malaysia.


Dalam perkembangan sama, PKBM turut menuntut agar janji pembinaan velodrom baharu di Kuala Lumpur direalisasikan susulan penjualan tanah Velodrom Cheras sebelum ini. Bagaimanapun, usaha itu berdepan cabaran apabila difahamkan pemilikan tanah berkenaan telah bertukar tangan kepada pihak lain.


Amarjit berharap mana-mana pemaju yang kini memiliki hartanah tersebut dapat menunaikan komitmen asal bagi memastikan kemudahan berbasikal di ibu negara terus diperkukuh.


“Jika velodrom baharu dapat dibina, ia akan memberi manfaat besar kepada komuniti berbasikal khususnya di Kuala Lumpur,” ujarnya.


Sementara itu, AGM PKBM turut menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2026 hingga 2030. Norazman Abu Samah dipilih sebagai Timbalan Presiden selepas meraih 44 undi, menewaskan Mohd Saiful Abdul Jalil yang memperoleh 21 undi.


Lima individu turut dipilih sebagai Naib Presiden iaitu Muhammad Firdaus Dawod, M Rezal Abu Bakar, Firdaus Arshad, Mohd Zairi Badderul dan Irawan Sudarsono.


Mengulas pelantikan jawatan lain, Amarjit menegaskan keputusan akan dibuat secara teliti dan berasaskan keupayaan individu, bukan kepentingan tertentu.


“Saya mahu barisan yang benar-benar boleh bekerja dan menyumbang kepada pembangunan sukan ini,” katanya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan