“Bau Wangi Macam Minyak Wangi” Nelayan Dakwa Temui Muntah Paus


KEMAMAN, 5 MEI 2026: Penemuan objek pelik seperti lilin di tengah laut mencuri perhatian apabila seorang nelayan mendakwa menemui ketulan dipercayai muntah ikan paus ketika keluar mencandat sotong, Khamis lalu.

Mohd Raffi Yusoff, 58, berkata, objek seakan lilin seberat kira-kira 20 kilogram itu ditemui terapung dalam keadaan tenggelam-timbul kira-kira empat batu nautika dari Kuala Kemasik, sekitar jam 6 petang.

Menurutnya, pada awalnya dia menyangka objek berwarna putih itu hanyalah gabus pelampung sebelum menghampirinya.

“Saya terkejut bila dapati ia ketulan macam lilin dan sangat berat. Bila sentuh, ia agak lembut dan berbau harum,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Chengal, Kemasik.

Katanya, dia hanya mengambil sebahagian daripada ketulan itu, dianggarkan kira-kira lima kilogram menggunakan penyauk sebelum selebihnya dihanyutkan air.

“Sepanjang malam mencandat, bau dia memang wangi. Bila balik rumah, saya tunjuk pada isteri sebelum kami cuba cari di internet,” katanya.

Tambahnya, hasil carian mendapati objek tersebut berkemungkinan besar adalah muntah paus atau lebih dikenali sebagai ambergris yang bernilai tinggi.

“Saya cuba bakar sedikit dan memang keluarkan bau wangi. Dari situ lagi kuat syak ia muntah paus,” ujarnya.

Mohd Raffi berkata, dia bercadang menghantar sampel tersebut ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi mengesahkan ketulenan bahan berkenaan.

“Kalau betul ini muntah paus, saya bersyukur dan terbuka untuk menjual kepada mana-mana pihak yang berminat,” katanya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan