KUALA BERANG - Harta boleh dicari tetapi nyawa tiada galang ganti, itu pesanan ringkas dititipkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar kepada penduduk yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menerusi tinjauan di beberapa kawasan di sini, beliau mendapati terdapat sebilangan penduduk yang enggan berbuat demikian disebabkan pelbagai alasan terutama sekali keyakinan atas pengalaman mereka berdepan banjir sebelum ini.
"Ada antara mereka yang beritahu sudah 30 tahun tinggal di sini dan ikut pengalaman, banjir sebegini hanya bertahan satu malam.
"Keesokan paginya air akan surut," katanya kepada pemberita selepas melawat Kampung Bukit Tok Bat di sini pada Selasa.
Akur dengan keyakinan itu, beliau bagaimanapun tetap menasihatkan penduduk terbabit untuk sentiasa memantau keadaan aras banjir dari semasa ke semasa dan segera berpindah jika situasi semakin tidak terkawal.
"Saya berunding tadi dengan mereka kalau boleh pindahlah kerana bimbang malam ini keadaan air semakin naik sebab tinjauan kami mendapati air dari hulu Kuala Berang masih turun ke arah pekan Kuala Berang ini," katanya.
Penduduk di kampung berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Suhail berkata, dia sudah bersedia dengan segala kelengkapan peribadi termasuk dokumen penting dan akan berpindah sekiranya air semakin naik.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, kawasan kediamannya ketika ini hanya digenangi air di luar pagar rumah kerana berada pada paras yang lebih tinggi, namun dia akan terus memantau paras air sepanjang masa.
"Saya juga sudah bersedia dengan nombor PPS berhampiran, kalau ada apa-apa saya akan segera berpindah," katanya yang baru setahun tinggal di kampung tersebut. - SINAR HARIAN