KUALA TERENGGANU, 23 April 2026: Sebanyak RM2.25 bilion royalti petroleum dilaporkan tidak disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri secara kumulatif bermula tahun 2023 hingga tahun lalu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi tahun 2025 sahaja, daripada keseluruhan RM1.37 bilion royalti petroleum, hanya RM659 juta disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri.
Menurut beliau, baki sebanyak RM713 juta, bersamaan 52 peratus, tidak dimasukkan ke akaun kerajaan negeri.
Katanya, keadaan sama turut berlaku pada tahun-tahun sebelumnya apabila pada 2023 hanya RM802 juta disalurkan daripada jumlah keseluruhan RM1.52 bilion, manakala pada 2024 pula hanya RM733 juta daripada RM1.55 bilion diterima terus kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Ucapan KDYMM Pemangku Raja Terengganu sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, jumlah hasil negeri bagi tahun 2025 direkodkan sebanyak RM1.92 bilion.
Katanya, jumlah itu merangkumi hasil cukai sebanyak RM104.9 juta, hasil bukan cukai RM282.3 juta serta terimaan bukan hasil sebanyak RM1.54 bilion, di mana RM1.37 bilion daripadanya adalah bayaran royalti petroleum.
