KPT mahu perluas Program Kembara Pendidikan Tinggi seluruh negara


KUALA BERANG, 20 Mei 2026: Kementerian Pendidikan Tinggi akan memperluaskan Program Kembara Pendidikan Tinggi ke seluruh negara sebagai usaha mendekatkan institusi pengajian tinggi dengan masyarakat.


Menterinya, Zambry Abd Kadir berkata, program yang dilancarkan di Terengganu itu akan diperluaskan secara berperingkat ke negeri lain menerusi kerjasama universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.


Menurut beliau, pendekatan tersebut memberi peluang institusi pendidikan tinggi berkongsi kepakaran dan ilmu bagi membantu meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat.


“Kita akan turun ke kampung untuk mengenal pasti kawasan yang memerlukan penglibatan universiti bagi membantu pembangunan masyarakat,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Kembara Pendidikan Tinggi@Terengganu semalam.


Beliau berkata, Universiti Malaysia Terengganu dipilih sebagai universiti peneraju program berkenaan susulan kejayaannya membantu komuniti melalui projek madu kelulut dan penanaman cendawan.


Tambahnya, beberapa institusi lain seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Malaysia Kelantan turut terlibat berdasarkan kepakaran masing-masing.


Program itu juga akan melibatkan sekolah bagi memperkukuh minat pelajar dalam bidang STEM, dengan 12 sekolah sudah dikenal pasti setakat ini.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan