Medal Finisher Tersilap Agih, Penganjur Terengganu Marathon 2026 Mohon Maaf


KUALA NERUS, 3 MEI 2026: Isu pembahagian medal finisher bagi kategori jarak pendek dalam Terengganu Marathon 2026 mencetuskan perhatian apabila pihak penganjur mengakui berlaku kesilapan yang tidak dijangka.


Dalam satu kenyataan rasmi, penganjur memaklumkan kekeliruan melibatkan kategori 5 kilometer (KM), 2KM dan 1KM amat dikesali serta berada di luar jangkaan mereka.


Bagi menangani perkara itu, pihak penganjur telah menghubungi semua peserta terlibat melalui emel dan meminta kerjasama mereka untuk mengisi maklum balas menerusi pautan Google Form yang disediakan. Langkah itu bertujuan memastikan penghantaran medal gantian dapat dilakukan dengan segera dan teratur.


Menurut kenyataan sama, penganjur memberi jaminan bahawa setiap peserta akan menerima hak masing-masing dan komited menyelesaikan isu berkenaan dalam kadar segera.


Dalam masa sama, sebagai langkah penambahbaikan, penganjur memutuskan bahawa edisi akan datang, Terengganu Marathon 2027 (TM27), hanya akan memberi tumpuan kepada kategori larian jarak jauh iaitu 42KM, 21KM dan 10KM.


Penganjur turut sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul serta menghargai sokongan berterusan daripada para peserta dalam penganjuran tahun ini.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan