RANTAU PANJANG, 5 MEI 2026: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki tempatan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan petai dari negara jiran dalam satu operasi di Kampung Lubok Gong, di sini pada Ahad.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tindakan itu diambil hasil serbuan oleh pasukan Strike Force Batalion Ke-9 selepas mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan berhampiran kawasan sempadan kira-kira jam 5.30 petang.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan 30 paket plastik berisi petai yang tidak mempunyai sebarang dokumentasi sah.
“Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan yang dibawa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati petai berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati petai tersebut disyaki telah dicemari perosak dan penyakit, sekali gus boleh menjejaskan sektor pertanian tempatan,” jelasnya.
Ahmad Radzi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dan petai dianggarkan berjumlah RM12,400.
Kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
