KUALA LUMPUR, 21 Jun 2026: Gelombang keluhan mengenai bil elektrik yang didakwa meningkat secara mendadak terus menjadi perbualan hangat di media sosial apabila ramai pengguna mendakwa terkejut dengan jumlah bayaran yang perlu dijelaskan sejak kebelakangan ini.
Malah, ada yang berkongsi bahawa bil bulanan mereka hampir dua kali ganda berbanding biasa walaupun mendakwa tiada perubahan ketara dari segi penggunaan elektrik di rumah.
Seorang pengguna mendakwa bil kediamannya meningkat daripada sekitar RM50 kepada hampir RM100, manakala seorang lagi memaklumkan bil bulanan mencecah hampir RM900 berbanding kira-kira RM600 sebelum ini.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai persoalan, termasuk dakwaan mengenai kemungkinan wujudnya caj baharu yang dikenakan tanpa disedari pengguna.
Bagaimanapun, menurut penjelasan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Semenanjung Malaysia kini menggunakan struktur tarif elektrik baharu yang dilaksanakan di bawah Tempoh Regulatori Keempat (RP4) sejak 1 Julai 2025.
Di bawah sistem berkenaan, pengiraan bil elektrik tidak lagi dibuat seperti sebelum ini sebaliknya dipecahkan kepada beberapa komponen termasuk kos penjanaan, kapasiti bekalan dan penggunaan rangkaian.
Pada masa sama, mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) turut diperkenalkan bagi menggantikan sistem ICPT. Melalui kaedah ini, kadar elektrik boleh berubah setiap bulan berdasarkan faktor seperti harga bahan api dan turun naik pertukaran mata wang.
TNB menjelaskan bahawa majoriti pengguna domestik tidak dijangka menerima kesan besar daripada perubahan tersebut. Namun, peningkatan penggunaan elektrik dan pelarasan kos semasa boleh menyumbang kepada kenaikan bil bagi sesetengah pengguna.
Sehubungan itu, orang ramai disaran meneliti pecahan bil menerusi aplikasi myTNB atau bil rasmi bagi memahami caj yang dikenakan. Sekiranya terdapat keraguan terhadap jumlah bil atau bacaan meter, pengguna boleh menghubungi TNB untuk mendapatkan penjelasan dan siasatan lanjut.