Dua Kali Gagal Temuduga IPG, Anak Tukang Kebun Bangkit Raih PNGK 4.00 STPM


BACHOK: Kegagalan sebanyak dua kali dalam temuduga Institut Pengajian Guru (IPG) tidak pernah mematahkan semangat seorang pelajar dari Bachok untuk mengejar cita-citanya bergelar pendidik.

Sebaliknya, pengalaman pahit itu menjadi titik kebangkitan buat Nur Aina Najwa Rosdi, 19, apabila berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dengan keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan pada Khamis lalu.

Pelajar itu meraih gred A bagi mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Sejarah dan Geografi.

Lebih manis, kejayaan tersebut turut menjadi kebanggaan bapanya, Rosli Arifin, 58, yang bekerja sebagai tukang kebun di sekolah tempat anaknya menuntut ilmu.

Nur Aina yang sebelum ini memperoleh 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengakui pernah kecewa apabila gagal dalam dua sesi temuduga IPG.

Namun, kegagalan itu tidak mematahkan impiannya, sebaliknya mendorongnya memilih untuk menyambung pengajian di Tingkatan Enam dan berusaha lebih keras demi merealisasikan cita-citanya.

"Saya sedih kerana abah menghabiskan banyak wang untuk membawa saya menghadiri temuduga, tetapi saya tidak berjaya.

"Saya juga tidak pernah malu dengan pekerjaan abah kerana saya mahu orang tahu ibu bapa yang bekerja biasa juga mampu melahirkan anak yang luar biasa," katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia mengamalkan teknik pembelajaran Pomodoro iaitu belajar secara fokus selama 25 minit sebelum berehat selama lima minit.

Menurutnya, dia juga lebih gemar mengulang kaji pada waktu malam kerana suasana yang lebih tenang dan membolehkannya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran.

Sementara itu, Rosli berkata, anaknya tidak pernah meminta perbelanjaan berlebihan dan hanya mengikuti kelas tambahan yang disediakan pihak sekolah.

Katanya, kekangan kewangan keluarga menyebabkan Nur Aina tidak pernah mengikuti kelas tuisyen di luar.

"Kebanyakan buku rujukan dipinjam daripada rakan sebelum difotokopi. Selepas tamat STPM pun, dia bekerja di sebuah kedai kek untuk membantu keluarga.

"Saya bangga dengan pencapaiannya dan sentiasa berdoa agar impiannya untuk menjadi seorang guru akhirnya menjadi kenyataan," katanya.

Menurut Rosli, pendapatan keluarga sekadar mencukupi untuk menyara isterinya, Maizan Abdullah, 52, serta dua lagi anak mereka yang masih bersekolah.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan