Remaja 15 tahun ambil upah RM80 seminggu cuci kereta demi sara ibu dan empat adik


PASIR MAS: Kisah seorang remaja berusia 15 tahun di Kelantan mencuri perhatian warganet apabila terpaksa mengambil tanggungjawab mencari pendapatan bagi membantu menyara ibu dan empat adiknya.

Menurut aktivis sosial, Abbe Hae, pelajar Tingkatan Tiga itu mencuci kereta untuk membeli beras dan keperluan makanan asas bagi keluarganya.

Beliau berkata, remaja tersebut memperoleh kira-kira RM80 seminggu hasil kerja mencuci kereta yang dilakukannya.

Abbe turut mendedahkan bahawa remaja itu bersama adik-beradiknya tidak lagi bersekolah berikutan kesukaran kewangan yang dihadapi keluarga mereka, selain lokasi sekolah yang jauh dari tempat tinggal.

Katanya, ibu kepada kanak-kanak berkenaan turut berdepan pelbagai ujian hidup dan hilang arah selepas dipaksa keluar dari rumah sewa kerana gagal menjelaskan bayaran sewa selama empat bulan.

“Seorang anak berusia 15 tahun mencuci kereta untuk membeli beras bagi ibunya dan empat adik di Pasir Mas. Pelajar Tingkatan Tiga itu memperoleh RM80 seminggu untuk membeli beras dan sedikit makanan bagi keluarganya.

“Ibunya berdepan pelbagai ujian dan kehilangan tempat tinggal selepas gagal membayar sewa rumah selama empat bulan. Tuan rumah terpaksa menyewakan rumah itu kepada penyewa lain,” katanya.

Tambah Abbe, keadaan keluarga tersebut menjadi lebih sukar apabila suami wanita itu kini sedang menjalani hukuman penjara.

Susulan itu, beliau tampil menghulurkan bantuan termasuk mencari kediaman baharu yang lebih dekat dengan sekolah bagi memudahkan urusan keluarga berkenaan.

“Saya amat bersimpati dengan nasib ibu dan anak-anak ini dan mengambil keputusan untuk membantu walaupun saya sendiri berdepan kekangan kewangan kerana menanggung perbelanjaan bulanan ramai keluarga yang memerlukan.

“Namun saya percaya membantu mereka yang benar-benar memerlukan tidak akan menjadikan saya miskin. Insya-Allah saya akan terus berusaha membantu masyarakat,” katanya.

Abbe berkata, hasil usaha beliau bersama pasukannya, sebuah rumah sewa yang kosong berjaya diperoleh dan keluarga tersebut bakal berpindah ke kediaman baharu dalam masa terdekat.

TV: Mad respect🫔 semoga dipermudahkan segala urusan. 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan