KUALA TERENGGANU, 24 Oktober 2026: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Paka terus meningkat kepada 153 pada jam 7 pagi ini, selepas merekodkan 107 pada jam 7 malam semalam.
Bacaan itu mula meningkat daripada 94 pada jam 3 petang, menjadikan Paka satu-satunya kawasan di Terengganu yang merekodkan bacaan tidak sihat pada ketika itu.
Dalam perkembangan sama, Kuala Terengganu mencatat bacaan 63 pagi ini, meningkat daripada kategori baik kepada sederhana. Besut pula merekodkan bacaan 45 dan kekal dalam kategori baik.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), bacaan IPU 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 51 hingga 100 adalah sederhana.
Sebagai rekod, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 8 Oktober lalu melalui Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, memaklumkan sekolah ditutup bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut.
Orang ramai terutama golongan berisiko dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar sekiranya keadaan kualiti udara bertambah buruk serta mengikuti perkembangan bacaan IPU semasa.