KUALA TERENGGANU, 27 Oktober 2026: Risiko banjir besar luar biasa di Pantai Timur sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) kali ini dijangka rendah berikutan taburan hujan yang diramal tidak selebat tahun-tahun sebelumnya.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, keadaan itu dijangka menjadikan musim tengkujuh kali ini lebih terkawal.
Menurutnya, tiga hingga lima episod hujan diramal berlaku pada fasa awal MTL sehingga Januari tahun depan, namun jumlah hujan dijangka tidak terlalu lebat.
Beliau berkata, fenomena Super El Nino yang dijangka berterusan terutama mulai Disember ini boleh mengurangkan kelembapan Lautan Pasifik, sekali gus mengurangkan kemungkinan hujan lebat berterusan.
Keadaan itu dijangka mengurangkan risiko banjir besar seperti yang pernah melanda Pantai Timur pada 2013, 2014 dan 2022.
Bagaimanapun, banjir berskala kecil masih berpotensi berlaku, khususnya di kawasan rendah serta lokasi berhampiran pesisir pantai dan tebing sungai.
Dr. Chung turut mengingatkan penduduk dan pihak berkuasa supaya tidak mengambil mudah risiko cuaca sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, gangguan atmosfera luar jangka seperti lekukan Borneo dan luruan sejuk masih boleh mencetuskan hujan sangat lebat, terutama di Pantai Timur.
“Sekiranya ia berlaku, risiko berlakunya banjir besar akan kembali meningkat,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan MTL bermula hari ini dan dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip sebelum ini memaklumkan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku sehingga Januari, sebelum taburan hujan berkurangan menjelang penghujung MTL.