Diusia 81 tahun, datuk 35 cucu genggam PhD selepas empat tahun pengajian di UMK

May be an image of text 

BACHOK, 1 November 2026: Impian yang tertangguh sejak zaman muda akhirnya tercapai apabila Dr Abdul Ghani Muhamad, 81, berjaya memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Tasawuf dan Tarekat pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ke-16.

Lebih membanggakan, beliau yang juga datuk kepada 35 cucu menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun meskipun berdepan pelbagai cabaran kesihatan, termasuk darah tinggi, masalah prostat dan saraf.

Dr Abdul Ghani merupakan graduan PhD tertua UMK dan kejayaannya diraikan lebih 20 ahli keluarga termasuk anak, menantu serta cucu yang hadir pada majlis berkenaan.

Menurutnya, sepanjang pengajian, beliau menjalani dua pembedahan mata selain berdepan masalah ingatan akibat faktor usia.

Beliau turut perlu menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi digital dan mempelajari kemahiran komputer bagi memenuhi keperluan pengajian.

“Namun anak dan cucu menjadi motivasi untuk saya habiskan pengajian,” katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen UMK ke-16.

Mengulas keputusannya menyambung pengajian sehingga peringkat tertinggi, Dr Abdul Ghani berkata, beliau mahu merealisasikan impian sejak muda untuk menjejakkan kaki ke menara gading dan memperoleh kelulusan akademik tertinggi.

Bagaimanapun, kekangan kewangan serta tanggungjawab membesarkan sembilan anak menyebabkan hasrat itu terpaksa ditangguhkan sehingga anak-anaknya dewasa dan berkeluarga, selain beliau bersara sebagai guru agama.

Suami kepada Che Norma Che Ismail, 79, yang menetap di Bukit Marak itu bagaimanapun tidak bercadang berhenti setakat ini, malah berhasrat menyambung pengajian PhD sekali lagi dalam bidang agama di Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan UMK.

Beliau merupakan antara 4,035 graduan yang diraikan pada konvokesyen kali ini, membabitkan lapan sidang bermula hari ini hingga Khamis.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan