Tidak perlu pembelian panik untuk menghadapi banjir - KPDN Terengganu

May be an image of text 

KUALA TERENGGANU, 4 November 2026: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan stok makanan secara berlebihan bagi menghadapi musim banjir.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, bekalan barangan keperluan sepanjang musim tengkujuh dijamin sentiasa mencukupi.

Katanya, seramai 100 Pemborong Terpilih Daerah (DDW) dan 171 Peruncit Terpilih Daerah (DDR) telah dilantik sebagai pemegang stok mini di seluruh negeri.

“Kesemua DDW dan DDR berkenaan dibenarkan sementara untuk meningkatkan had simpanan barangan kawalan sehingga 30 peratus sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.

“Kita mahu barangan keperluan asas tersebut sentiasa mencukupi dan mudah diperoleh pengguna sepanjang tempoh Monsun Timur Laut ini,” katanya selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pusat Arahan Penguatkuasaan atau Enforcement Command Centre (ECC), yang beroperasi mulai 8 pagi, akan dilanjutkan sehingga 10 malam setiap hari sekiranya berlaku bencana banjir.

Justeru, orang ramai termasuk peniaga diminta melaporkan kepada pihaknya sekiranya berlaku gangguan bekalan barangan kawalan atau kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak munasabah. 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan