KUALA TERENGGANU, 24 Feb 2026: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan Kerajaan Negeri menghormati sepenuhnya proses undang-undang berhubung seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang kini berada di peringkat pendakwaan dan perbicaraan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata kerajaan negeri komited menjaga integriti serta tidak akan mencampuri urusan perundangan yang sedang berjalan.
Menurutnya, seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah dan semua pihak diminta tidak membuat spekulasi atau penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan.
Beliau turut memaklumkan Ahli MMKN berkenaan tidak diwajibkan meletak jawatan kerana kapasiti sebagai Exco Kerajaan Negeri tidak menjejaskan proses pendakwaan dan perbicaraan.
Ahmad Samsuri menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada sistem perundangan menjalankan tugas secara profesional.
Tags
DALAM NEGERI
