KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Seorang penjawat awam sebuah pusat pemulihan dadⱥh negeri ini direman enam hari sehingga 7 Mac 2026 selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 sebagai balasan membawa masuk barang terlarang ke pusat berkenaan.
Perintah reman terhadap wanita berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi.
Menurut sumber, saspek ditahan bersama seorang lagi penjawat awam lelaki di tempat kerja ketika hadir bersama memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu semalam. Bagaimanapun, lelaki itu dilepaskan dengan jaminan atas faktor kesihatan.
Siasatan awal mendapati kedua-dua saspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025 dengan menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat berkenaan.
Wang dipercayai dipindahkan ke akaun peribadi masing-masing dan pihak ketiga, manakala modus operandi adalah membawa masuk barang terlarang melalui pembekalan makanan tengah hari.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
