JAHEAIK buru ‘duyung’ jantan menari hadapan gerai air


KOTA BHARU, 23 FEB 2026: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) sedang mengesan seorang lelaki yang berpakaian menyerupai ikan duyung dan dirakam berjoget di hadapan sebuah gerai air balang dipercayai di Pengkalan Chepa pada Ahad.


Video berdurasi 26 saat memaparkan lelaki berkostum berwarna terang itu menari dipercayai bagi menarik perhatian pelanggan dan melariskan jualan minuman sebelum tular di media sosial.


Aksi berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen, dengan sebahagian menyifatkannya sebagai keterlaluan dan tidak sensitif terhadap suasana Ramadan serta norma masyarakat setempat.


JAHEAIK memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian itu dan sedang mengenal pasti individu terbabit bagi membantu siasatan.


“Sebarang pelanggaran undang-undang syariah atau perbuatan tidak senonoh di tempat awam akan diambil tindakan sewajarnya,” menurut kenyataan jabatan berkenaan.


Orang ramai turut mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan termasuk menarik balik lesen perniagaan gerai tersebut sekiranya didapati melanggar peraturan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan