KUALA TERENGGANU, 23 FEB - Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Haji Hanafiah bin Mat, menegaskan beliau telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung siasatan yang sedang dijalankan terhadap dirinya.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman media sosial miliknya, beliau memaklumkan semua dokumen yang diperlukan telah diserahkan dan keterangan telah diberikan kepada pegawai penyiasat, selain tidak pernah mengelak daripada proses undang-undang.
Menurutnya, siasatan berkenaan bukan perkara baharu kerana telah bermula sejak beberapa tahun lalu dan sepanjang tempoh itu beliau sentiasa bersikap terbuka serta memberikan kerjasama sepenuhnya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap individu berhak mendapat keadilan dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah.
Mengulas suasana politik semasa, beliau berkata pelbagai persepsi dan spekulasi mungkin timbul, namun memilih untuk tidak mengulas perkara bersifat spekulatif dan menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan.
Katanya, fokus beliau kekal kepada amanah dan tanggungjawab yang diberikan rakyat serta akan terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan dan memberi sokongan serta berharap setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah.
