1.5 hektar Hutan Simpan Bukit Bauk terbakar


DUNGUN, 12 Mac 2026: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memadam kebakaran hutan seluas 1.5 hektar di kawasan Hutan Simpan Bukit Bauk, Jalan Bukit Bauk di sini semalam.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rizuan Ramli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.04 petang sebelum sembilan anggota dari BBP Paka digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan lori tangki.


Beliau berkata lima anggota Pasukan Bomba Sukarela Kuala Dungun turut membantu operasi memadamkan kebakaran tersebut.


Menurutnya, anggota tiba di lokasi pada 3.21 petang dan memulakan operasi pemadaman kira-kira dua minit kemudian menggunakan empat aliran hos sepanjang 200 kaki (60 meter) dari jentera FRT dan lori tangki.


Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 7.38 malam manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan