Inspektor polis mengaku tidak bersalah kes rasuah RM5,300


KUALA TERENGGANU, 12 Mac 2026: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima dan meminta rⱥsuah serta menipu wang jaminan berjumlah RM5,300.


Tertuduh yang berusia 32 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azman Mustapha.


Mengikut dua pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa menerima rⱥsuah RM300 dan meminta suapan RM4,000 daripada seorang wanita sebagai balasan membebaskannya daripada tahanan reman polis serta tidak menuduhnya di mahkamah atas kes jenayah komersial.


Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa cuba memperoleh wang tunai RM4,000 daripada wanita sama bagi tujuan serupa.


Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.


Selain itu, tertuduh turut berdepan satu pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya seorang wanita supaya menyerahkan RM1,000 sebagai wang jaminan untuk membebaskan adiknya daripada tahanan reman, sedangkan tiada wang jaminan diperlukan.


Kesalahan itu didakwa berlaku di Bilik Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Dungun antara 21 Januari hingga 5 Februari lalu.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi tiga pertuduhan rⱥsuag dan RM5,000 bagi pertuduhan menipu dengan syarat melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan, tidak memiliki pasport serta tidak mengganggu saksi.


Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 April bagi penyerahan dokumen.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan