DUNGUN, 15 Mac 2025: Kegembiraan menyambut Aidilfitri bertukar duka buat pasangan suami isteri apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Tanah Lot Pantai di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi, rumah kayu berusia lebih 50 tahun milik Mohd Ridzuan Abu Bakar, 36, hangus sepenuhnya dalam tempoh sekitar 10 minit.
Ketika kejadian, Mohd Ridzuan yang bekerja sebagai kakitangan di Hospital Dungun bersama isterinya, Siti Zulaikha Ramli, 36, yang bertugas di sebuah klinik perubatan swasta berada di tempat kerja sebelum dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut.
“Baju raya kami baru saja dibeli. Tak sampai seminggu lagi nak raya, semuanya hangus…” katanya.
Menurutnya lagi, keadaan itu membuatkannya buntu memikirkan nasib mereka dan mereka mungkin terpaksa menumpang di rumah saudara mara buat sementara waktu selepas kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Timbalan Penguasa Bomba Yahaya Hanafi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.21 pagi sebelum anggota dari BBP Dungun bersama bantuan BBP Paka dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah berhampiran dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 9.32 pagi, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
TV: Sedihnya ujian menimpa. Ya Allah, permudahkanlah urusan pasangan ini…🤲🏻
