Harga runcit diesel di Semenanjung naik 70 sen berbanding RM6.02 meningkat kepada RM6.72 seliter bermula hari ini 9 hingga 15 April susulan krisis tenaga global yang berterusan.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, peningkatan itu berpunca daripada kos petroleum dunia yang tinggi termasuk kos logistik dan insurans. Walaupun harga minyak mentah global menunjukkan penurunan susulan pengumuman gencatan senjata, kesannya tidak serta-merta dirasai kerana harga bahan api tempatan ditentukan berdasarkan purata harga minggu sebelumnya.
Menurut MoF, harga semasa masih mencerminkan kos tinggi sepanjang lima minggu lalu apabila pasaran global mencecah sekitar AS$150 setong bagi petrol dan AS$250 setong bagi diesel.
Dalam tempoh sama, RON97 turut naik 40 sen kepada RM5.35 seliter, manakala RON95 meningkat kepada RM4.27 seliter. Namun, kerajaan masih mengekalkan harga subsidi bersasar termasuk RON95 pada RM1.99 seliter serta diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter.
