Remaja hilang dalam perjalanan ke Cameron Highlands


BESUT, 8 Mac 2026: Polis mengesahkan remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Cameron Highlands Jumaat lalu, kali terakhir dikesan singgah di sebuah stesen minyak di Beting Lintang, Besut pada awal pagi.


Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan mengesahkan individu itu ialah Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, sebelum dia gagal dikesan sehingga kini.


Beliau berkata polis sedang giat mengesan keberadaan mangsa dan satu kertas siasatan orang hilang (OH) telah dibuka selepas menerima laporan daripada keluarga pada petang Jumaat.


Sementara itu, bapa mangsa, Ahmad Azhar Mohd Yusof, 59, berkata kehilangan anaknya berlaku ketika mereka tujuh sekeluarga dari Kampung Batin, Seberang Takir dalam perjalanan bercuti ke Cameron Highlands pada Khamis lalu.


“Kali terakhir kami bertemu ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Kampung Saujana, Setiu sebelum saya bergerak dahulu. Pada kira-kira 12.30 tengah malam, kami singgah makan di Kampung Anak Ikan, Besut dan menghubunginya supaya berhenti di situ, namun sehingga kini gagal dihubungi,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Besut atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan