BACHOK, 25 April: Tindakan seorang wanita dipercayai membakar sampah bertukar tragedi apabila api merebak ke kawasan semak hingga menyebabkan sebuah kenderaan terbengkalai hangus dalam kejadian di Jalan Pantai Perkasa, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihak polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 4.30 petang sebelum bergegas ke lokasi.
Menurut beliau, ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak dan merebak ke kawasan berhampiran rumah pengadu sehingga mencetuskan panik penduduk setempat.
“Kebakaran bagaimanapun berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum merebak lebih jauh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati kawasan terjejas melibatkan semak samun, tanaman, beberapa pokok kelapa, kayu binaan, pagar besi serta rangka sebuah Proton Wira yang terbakar.
Siasatan lanjut turut menemui kesan pembakaran sampah di atas tanah milik wanita terbabit yang terletak bersebelahan lokasi kejadian.
Berdasarkan keterangan saksi, suspek dipercayai melakukan pembakaran sampah sekitar jam 11.30 pagi pada hari sama.
Wanita itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana cuai menggunakan api atau bahan mudah terbakar sehingga membahayakan harta benda.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka sesuka hati kerana ia bukan sahaja berisiko mencetuskan kebakaran, malah boleh membawa padah dan tindakan undang-undang.
