Kerajaan negeri mahu tindakan tegas diambil isu pencemaran Pantai Teluk Kalong


KEMAMAN, 18 April 2026: Kerajaan negeri meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kapal yang dikenal pasti menjadi punca pencemaran sisa minyak di Pantai Teluk Kalong, di sini.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri memandang serius insiden berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencemaran alam sekitar.


Menurutnya, tompokan minyak itu bukan sahaja mencemarkan kawasan pantai, malah memberi kesan buruk kepada hidupan laut di sekitar kawasan terbabit.


Beliau berkata, JAS sudah mengenal pasti kapal terlibat yang merupakan salah satu daripada 20 kapal berlabuh di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB). Difahamkan, tumpahan minyak gris berlaku ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan di kapal berkenaan.


“Saya berharap tindakan maksimum dapat diambil terhadap pihak bertanggungjawab supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya selepas meninjau kawasan pantai itu, hari ini.


Razali berkata, sampel minyak pelincir sudah diambil dan dihantar ke makmal bagi tujuan analisis, termasuk menilai tahap bahaya kepada orang ramai serta pelancong yang berkunjung ke pantai berkenaan.


Dalam masa sama, beliau menggesa semua kapal yang berlabuh di perairan negeri ini supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang kerja bagi mengelak pencemaran berulang.


Katanya, kontraktor dilantik Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) turut memulakan kerja pembersihan sejak semalam dan operasi itu akan diteruskan secara berkala sehingga kawasan pantai kembali bersih sepenuhnya.


Sebelum ini, media melaporkan Pantai Teluk Kalong dicemari tompokan minyak sepanjang kira-kira dua kilometer, selain puluhan hidupan laut seperti ikan, sotong dan ketam ditemui mati. Pada Januari lalu, pantai sama turut tercemar akibat tumpahan sisa arang batu.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan