KUALA NERUS, 18 April 2026: Cubaan sekumpulan penunggang motosikal meloloskan diri daripada operasi bersepadu polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membawa padah apabila enam motosikal berlanggar sesama sendiri hingga menyebabkan sebuah daripadanya terbakar dalam kejadian awal pagi.
Kejadian berlaku di Jalan Tengku Mizan berhampiran lampu isyarat Kampung Tebauk ketika operasi samseng jalanan dijalankan selama 10 jam bermula 10 malam semalam hingga 8 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, insiden itu berlaku apabila sekumpulan penunggang dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya sehingga hilang kawalan dan berlaku perlanggaran.
Menurutnya, salah sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR turut cuba merempuh anggota bertugas sebelum terbabas, manakala sebuah motosikal Honda Wave 125 yang terlibat dalam kemalangan itu terbakar sejurus kejadian.
“Secara keseluruhan, enam penunggang berusia antara 16 hingga 21 tahun mengalami kecederaan dan terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut IPT, buruh serta pekerja kedai makan,” katanya.
Beliau berkata, empat daripada mereka telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.
Dalam operasi sama, sebanyak 46 motosikal diperiksa dengan 228 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai ekzos, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan tidak memakai topi keledar.
JPJ turut mengeluarkan 280 notis dan menyita 102 motosikal dalam operasi berkenaan.
Kesemua motosikal yang terlibat kemalangan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis menasihatkan orang ramai khususnya golongan remaja agar tidak menjadikan jalan raya sebagai gelanggang perlumbaan haram atau melakukan aksi berbahaya yang boleh mengancam nyawa.
