KUALA NERUS, 19 April 2026 – Qari dari Perak, Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dan qariah mewakili Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa, diumumkan sebagai johan Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, malam tadi.
Kedua-dua johan membawa pulang wang tunai RM20,000 selain tambahan RM10,000 bagi menunaikan haji, bersama piala, cenderamata serta sijil penyertaan.
Pada majlis sama, Selangor dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan kali ini.
Bagi kategori hafazan juzuk 1-30 al-Quran bahagian lelaki, johan dimenangi Muhammad Izzul Afnan Sazali dari Wilayah Persekutuan, manakala bahagian perempuan dimenangi Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam dari Melaka.
Kategori hafazan juzuk 1-20 pula menyaksikan Wan Syimir Muhaimin Wan Ahmad Sadaba dari Pahang muncul johan lelaki, sementara Nur Izzati Norazmi dari Selangor menjuarai bahagian perempuan.
Bagi kategori hafazan juzuk 1-10, Muhammad Amnan Muhammad Sani dari Sabah meraih gelaran johan lelaki, manakala Siti Sofiyyah Abu Bakar dari Kelantan muncul johan perempuan.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan menyempurnakan majlis penutup dan pengurniaan hadiah program berkenaan.
Turut berangkat, Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
