Kuota 50 Liter Subsidi Tidak Cukup Untuk Nelayan Terengganu


KUALA TERENGGANU, 15 April 2026: Isu kekurangan kuota minyak subsidi terus membelenggu nelayan pantai di Terengganu apabila 50 liter sehari disifatkan tidak mencukupi untuk operasi menangkap ikan.


Perkara itu didedahkan oleh Dr Azman Ibrahim menerusi satu perkongsian di laman media sosial beliau semalam, yang memaklumkan nelayan menggunakan bot fiber dengan enjin 40 kuasa kuda memerlukan lebih banyak minyak bagi perjalanan pergi dan balik.


Menurut beliau, nelayan biasanya menangkap ikan sekitar 15 batu nautika dari pantai, menjadikan jarak keseluruhan perjalanan mencecah kira-kira 30 batu nautika — namun hanya berbekalkan 50 liter minyak.


“Malam tadi saya terima panggilan telefon dari nelayan Dungun yang kehabisan minyak dalam perjalanan balik,” katanya.


Situasi itu bagaimanapun tidak membawa kepada kejadian buruk apabila nelayan berkenaan berjaya dibantu bot lain sebelum selamat tiba di jeti.


Tambah beliau, kekurangan minyak bersubsidi memaksa nelayan membeli pada harga pasaran bagi menampung keperluan, sekali gus meningkatkan beban kos operasi.


“Penggunaan minyak motorbot tak sama dengan motosikal, malah lebih besar daripada motorkar,” jelasnya lagi.


Isu ini dilihat bukan sahaja memberi tekanan ekonomi kepada nelayan kecil, malah turut menjejaskan kelangsungan aktiviti mencari rezeki harian mereka.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan