Tambang Bot Penambang naik dari RM2 kepada RM3 sehala


KUALA TERENGGANU, 16 April 2026: Tambang bot penambang bagi laluan Seberang Takir ke Pasar Payang kini dinaikkan daripada RM2 kepada RM3 sehala susulan peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel sejak sebulan lalu.


Pengerusi Persatuan Pemandu Bot Penambang Seberang Takir (PBPST), Muhamad Ismail, 79, berkata keputusan itu terpaksa diambil kerana pengusaha kini menggunakan diesel tanpa subsidi.


Menurutnya, setiap bot menggunakan kira-kira 15 liter diesel sehari, namun jumlah penumpang yang tidak menentu menjadikan operasi semakin mencabar.


“Jika hanya dua atau tiga penumpang dalam satu perjalanan, kos tidak berbaloi, tetapi kami tetap teruskan perkhidmatan supaya penumpang tidak menunggu lama,” katanya.


Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pengendali berada dalam dilema apabila perlu menanggung kos tinggi demi memastikan perkhidmatan terus berjalan.


Malah, jumlah bot yang beroperasi kini merosot ketara daripada sekitar 10 buah kepada hanya dua atau tiga buah setiap hari.


Sementara itu, pemandu bot, Saidi Muhamad, 49, berkata kenaikan RM1 itu adalah kadar minimum bagi menampung kos bahan api yang semakin meningkat.


“Kami harap penumpang faham, kenaikan ini bukan dibuat sesuka hati, tetapi kerana tekanan kos diesel,” katanya.


Menurutnya, kekurangan penumpang pada hari biasa turut memaksa sebahagian pengusaha mencari pekerjaan lain bagi menampung pendapatan.


Dalam masa sama, orang ramai masih melihat perkhidmatan bot penambang sebagai relevan terutama kepada penduduk setempat dan sektor pelancongan.


Seorang pengguna, Norashikin Ishak, 34, berkata perkhidmatan itu bukan sekadar pengangkutan, malah sebahagian daripada warisan negeri yang perlu dipelihara.


Namun, perkembangan pesat jaringan jalan raya menyebabkan perkhidmatan itu semakin kurang mendapat sambutan, sekali gus menambah tekanan kepada pengusaha.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan