Masjid Kekal Utuh Di Tengah Kebakaran Besar di Sabah


SABAH, 20 April 2026: Di sebalik kebakaran besar yang memusnahkan hampir keseluruhan Kampung Bahagia Sandakan, Sabah kelmarin, sebuah masjid di kawasan itu menjadi tumpuan apabila dilaporkan kekal utuh walaupun dikelilingi kemusnahan.


Kebakaran yang dipercayai antara yang terbesar pernah berlaku di kawasan berkenaan dimana lebih 1,000 rumah hangus dijilat api dan menyebabkan kira-kira 9,000 penduduk kehilangan tempat tinggal. Api marak dengan pantas, memusnahkan hampir seluruh penempatan berkenaan.


Namun di tengah-tengah kemusnahan itu, sebuah masjid dilihat masih berdiri teguh. Bangunan di sekelilingnya ranap dijilat api, tetapi struktur masjid tersebut kekal utuh, seolah-olah tidak disentuh kebakaran.


Perkongsian imej kejadian di media sosial saudara Mohd Fadhli Salleh menarik perhatian ramai, khususnya apabila masjid berkenaan ditandakan dalam satu bulatan merah, menunjukkan kedudukannya yang dikelilingi kawasan yang telah musnah sepenuhnya.


Kejadian itu mencetuskan rasa keinsafan dalam kalangan masyarakat, ramai menyifatkannya sebagai tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT. Dalam suasana penuh ujian dan kehilangan, keadaan masjid yang masih terpelihara dilihat memberi kekuatan serta harapan kepada penduduk yang terjejas.


“Allahu Akbar,” antara ungkapan yang membanjiri ruangan komen, menggambarkan rasa takjub dan keagungan terhadap apa yang disaksikan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan