Pelaku Buli Gunting Baju Pelajar MRSM Sudah Dikenal Pasti, Boleh Dibuang MRSM - Asyraf Wajdi


JASIN, 26 April: Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang dipercayai terlibat dalam kes buli sehingga menggunting serta merosakkan pakaian seorang pelajar lain telah dikenal pasti pihak pengurusan.


Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, laporan berhubung insiden itu telah diterima dan siasatan segera sedang dijalankan bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil.


Menurut beliau, keluarga mangsa sudah membuat laporan manakala identiti pelaku juga berjaya dikesan selepas isu berkenaan tular di media sosial.


Katanya, mana-mana pelajar yang terbukti terlibat tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan termasuk dibuang dari MRSM bergantung kepada tahap kesalahan dilakukan.


“Aspek buli bukan hanya melibatkan kecederaan fizikal, malah tekanan mental kepada mangsa juga sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM MRSM Tun Ghafar Baba, semalam.


Terdahulu, seorang pengguna media sosial berkongsi keadaan pakaian adiknya yang koyak dan rosak dipercayai akibat dibuli di sebuah MRSM, selain beberapa barangan peribadi turut dimusnahkan.


Hantaran itu mengundang perhatian ramai sebelum Asyraf Wajdi menegaskan MARA tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli di institusi bawah seliaannya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan