KEMAMAN, 29 April 2026 – Sebahagian besar daripada 106 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negara menunjukkan prestasi memberangsangkan menerusi pelbagai aktiviti ekonomi yang berjaya meningkatkan pendapatan ahli serta memperkukuh rantaian bekalan sektor perikanan negara.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, kejayaan itu membuktikan PNK berupaya menjadi penggerak ekonomi komuniti nelayan di kawasan masing-masing melalui perniagaan berdaya maju dan berimpak tinggi.
Menurutnya, usaha berkenaan bukan sahaja meningkatkan pendapatan nelayan, malah turut merancakkan pembangunan ekonomi setempat.
“LKIM berbangga apabila kebanyakan PNK berjaya mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam pelaksanaan aktiviti ekonomi seperti ditunjukkan PNK Kijal yang mengusahakan kolam memancing air masin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jualan Agro MADANI dan sesi libat urus bersama penerima Lesen Sampan Khas (LSK) di Kolam Memancing Air Masin Kijal, di sini.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan peruntukan tambahan sebanyak RM300,000 kepada PNK Kijal bagi meningkatkan produktiviti projek kolam memancing berkenaan.
Muhammad Faiz berkata, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, LKIM serta agensi berkaitan turut menyediakan pelbagai bantuan termasuk pembiayaan modal perniagaan bagi memperkukuh keupayaan operasi dan daya saing PNK.
Beliau turut menegaskan setiap perniagaan yang dijalankan persatuan perlu diurus dengan baik dan konsisten bagi memastikan kelangsungan operasi serta pulangan mampan, sekali gus berupaya menjana keuntungan lebih tinggi.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 436 Lesen Sampan Khas dikeluarkan kepada nelayan di Terengganu tahun ini sebagai usaha memperluas akses bantuan kerajaan.
“Bagaimanapun, penerima lesen perlu mematuhi syarat ditetapkan termasuk wajib turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun bagi melayakkan mereka menerima subsidi dan insentif kerajaan,” katanya.
