Kuota Subsidi 50 Liter Sehari Nelayan Kekal, Tiada Keputusan Tambah Had


KEMAMAN, 29 April 2026: Kerajaan masih mengekalkan kuota subsidi petrol dan diesel maksimum 50 liter sehari kepada nelayan berkelayakan, setakat ini tanpa sebarang keputusan untuk menambah had berkenaan.


Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, kuota sedia ada didapati masih mencukupi bagi menampung operasi harian kebanyakan nelayan terutama yang menggunakan bot dan enjin standard.


Menurutnya, subsidi bahan api itu diwujudkan bagi mengurangkan beban kos ketika nelayan turun ke laut, bukannya menanggung keseluruhan kos operasi mereka.


“Kuota 50 liter sehari ditetapkan berdasarkan kapasiti biasa bot atau enjin standard dan ia memadai untuk kebanyakan operasi harian. Jika penggunaan melebihi jumlah itu, lebihan kos perlu ditanggung sendiri,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jualan Agro MADANI dan Sesi Libat Urus Bersama Penerima Lesen Sampan Khas (LSK) di Kijal semalam.


Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan bakul makanan kepada 71 pemegang LSK daripada Persatuan Nelayan Kawasan daerah Kemaman.


Muhammad Faiz berkata, selain subsidi bahan api, nelayan turut menerima elaun sara hidup serta insentif pendaratan ikan bagi membantu meningkatkan produktiviti sektor perikanan.


Katanya, sebanyak 436 LSK dikeluarkan kepada nelayan pantai di Terengganu tahun ini, menjadikan keseluruhan 1,036 lesen telah dikeluarkan di negeri itu sejak 2021.


Bagaimanapun, lesen hanya diberikan kepada nelayan aktif yang memenuhi syarat termasuk turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun bagi melayakkan mereka menerima subsidi dan insentif kerajaan.


“Jika syarat tidak dipatuhi, LKIM boleh menarik balik lesen berkenaan dan bantuan kerajaan tidak akan diteruskan,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua Persatuan Nelayan Kawasan di seluruh negara agar memberi tumpuan kepada aktiviti ekonomi secara lebih konsisten supaya manfaat peruntukan kerajaan dapat dinikmati seluruh ahli.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan