KUALA NERUS, 19 April 2026 – Peserta dari Terengganu, Encik Abdul Hadi bin Che Halim dan Puan Nor Jannah binti Abd Rahman mencatat pencapaian membanggakan apabila masing-masing berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori Tilawah Al-Quran lelaki dan wanita dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini.
Kejayaan itu sekali gus mengharumkan nama Terengganu di peringkat kebangsaan apabila kedua-dua peserta menampilkan bacaan yang konsisten, lancar dan penuh penghayatan sepanjang pertandingan.
Majlis berprestij itu menghimpunkan peserta terbaik dari seluruh negara dengan pelbagai kategori tilawah dan hafazan dipertandingkan, termasuk hafazan 30 juzuk, 20 juzuk dan 10 juzuk bagi lelaki dan wanita.
Dalam pertandingan kali ini, Selangor dinobatkan sebagai juara keseluruhan, manakala qari dari Perak dan qariah dari Sarawak muncul sebagai johan Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan tahun 2026.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Stadium Tertutup Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin untuk terus melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkaliber dari negeri Terengganu pada masa akan datang.
