Stor Minyak Haram Diserbu, 86,000 Liter Dirampas


DUNGUN, 30 April 2026: Taktik menyimpan dan menjual minyak mentah secara haram terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas kira-kira 86,000 liter bahan itu bernilai RM255,500 dalam serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian, di sini, semalam.


Operasi sekitar 12.30 tengah hari itu digerakkan sepasukan anggota Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA Kuantan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu serta Majlis Perbandaran Dungun (MPD).


Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di premis beralamat Lot 9750C menemukan empat tangki berisi kira-kira 80,000 liter minyak mentah, selain tujuh tong jenis Intermediate Bulk Container (IBC) mengandungi sekitar 6,000 liter bahan sama.


“Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Turut dirampas tiga pam minyak, lima hos serta empat tangki kosong yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyimpanan dan pemindahan bahan berkenaan,” katanya.


Siasatan awal mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen sah daripada MPD, dan kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan tersebut.


Menurut beliau, suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak awal tahun lalu dengan menjadikan premis berkenaan sebagai lokasi simpanan sebelum menjual minyak pada harga antara 70 sen hingga RM1 seliter.


“Hasil soal siasat, suspek yang bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan hampir tiga tahun dipercayai memperoleh minyak berkenaan ketika kerja-kerja di sekitar Terminal Minyak Mentah Terengganu sebelum dibawa ke premis tersebut,” katanya.


Kes disiasat mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPD serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan