1,000 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Besar Perkampungan Atas Air di Sandakan


SABAH, 19 April 2026: Kebakaran besar yang melanda perkampungan atas air Kampung Bahagia, Sandakan awal pagi tadi memusnahkan kira-kira 1,000 rumah, sekali gus menyebabkan ratusan penduduk hilang tempat tinggal.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, kebakaran melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar, manakala keadaan laut surut turut menyukarkan usaha anggota bomba mendapatkan bekalan air terbuka untuk operasi pemadaman.


Menurutnya, operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada lori tangki, pili bertekanan milik Kilang IOI serta air laut.


“Pasukan bomba menggunakan empat aliran hos sepanjang 1,000 kaki serta 12 pancutan air bagi memadam kebakaran.


“Jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Kinabatangan turut digerakkan membantu operasi menggunakan dua aliran hos sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan air,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 12 tengah hari dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.32 pagi.


Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson berkata, sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan Gas pada jam 11 pagi selepas PPS pertama di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi dibuka pada jam 7 pagi.


Katanya, langkah itu diambil selepas pemeriksaan mendapati kawasan terjejas dan rumah penduduk tidak lagi selamat didiami, selain pengisytiharan bencana kebakaran telah dibuat di daerah berkenaan.


Maklumat tidak rasmi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menunjukkan sehingga jam 10.30 pagi, seramai 661 mangsa daripada 143 ketua isi rumah telah berdaftar di PPS Dewan PPR Batu Sapi.


Ketika ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih meneruskan proses pendaftaran mangsa terjejas.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan