KEMAMAN, 28 Mei 2026: Anak tuntung yang berjaya menetas di Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah akan dipasang mikrocip khas sebelum dilepaskan semula ke habitat asal di Sungai Kemaman.
Pengasas bersama merangkap Pengarah Eksekutif Persatuan Pemuliharaan Tuntung Malaysia (TCS), Dr Chen Pelf Nyok berkata, pemasangan mikrocip itu penting bagi tujuan rekod identiti dan pemantauan spesies berkenaan pada masa hadapan.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 1,222 anak tuntung berjaya menetas daripada 1,673 biji telur yang dikutip sejak Februari lalu.
“Mikrocip ini membolehkan kita mengenal pasti tuntung sekiranya ditemukan semula nanti sekali gus membantu pengumpulan data dan kajian kadar kelangsungan hidup spesies itu,” katanya.
Beliau berkata, anak tuntung yang menetas akan dilepaskan secara berperingkat ke Sungai Kemaman dengan acara pelepasan kemuncak dijadual berlangsung pada 3 Oktober depan.
Katanya, lebih 7,000 anak tuntung telah dilepaskan ke sungai berkenaan sejak usaha konservasi spesies itu dimulakan pada tahun 2012.
Tags
DALAM NEGERI
