Batal konsert, HyperAct mohon maaf kepada peminat


KUALA TERENGGANU, 25 Mei 2026: Kumpulan muzik HyperAct memohon maaf kepada peminat selepas persembahan mereka di Fantastic Food Fest by Kak Nab yang dijadual berlangsung malam tadi dibatalkan.

Menerusi satu kenyataan di media sosial rasmi mereka, pihak pengurusan memaklumkan pembatalan dibuat selepas perbincangan bersama pihak penganjur, pihak berkuasa tempatan serta pengurusan tertinggi.

Menurut kenyataan itu, keseluruhan slot persembahan malam berkenaan diarahkan dihentikan serta-merta atas faktor teknikal dan bagi mematuhi regulasi yang ditetapkan pihak berkuasa.

HyperAct turut memohon maaf kepada peminat yang hadir dari jauh dan menyifatkan situasi tersebut amat dikesali, namun menegaskan kepatuhan terhadap undang-undang dan arahan pihak berkuasa menjadi keutamaan.

Terdahulu, media melaporkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengeluarkan kompaun terhadap penganjur program hiburan tersebut selepas didapati melanggar syarat serta garis panduan lesen hiburan yang ditetapkan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan