KUALA LUMPUR, 23 Mei 2026: Polis menahan enam individu termasuk dalang utama sindiket curi motosikal dikenali sebagai ‘Geng Hadi’ dalam beberapa serbuan sekitar Kepong pada Sabtu lalu.
Semua suspek berusia antara 15 hingga 33 tahun dipercayai aktif mencuri motosikal sejak Januari sebelum meleraikan kenderaan itu untuk dijual sebagai alat ganti.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Jasni Zolpa berkata, ketua kumpulan dikenali sebagai Hadi, 18, dipercayai bertindak meleraikan motosikal curi sebelum rangkanya dibuang ke dalam sungai bagi menghapuskan bukti.
Menurut beliau, siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan kehilangan motosikal Honda EX5 milik seorang penghantar surat berusia 55 tahun di Flat Mutiara, Taman Fadason pada 13 Mei lalu.
“Hasil risikan Bahagian Siasatan Jenⱥyah Sentul membawa kepada penahanan enam suspek serta rampasan dua motosikal,” katanya pada sidang media di IPD Sentul.
Polis turut menemukan lima rangka motosikal dalam sungai, selain merampas satu cover set motosikal dan dua telefon bimbit. Kesemua suspek mempunyai rekod jenⱥyah lampau berkaitan curi kenderaan, manakala ujian urin didapati negatif.
Kes itu dipercayai berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes curi motosikal di sekitar Sentul dengan anggaran kerugian kira-kira RM20,000.
