Saman fitnah KJ terhadap Jamal Yunos selesai secara baik


KUALA LUMPUR, 23 Mei 2026: Kes saman fitnah membabitkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung isu pengundi hantu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi, semalam.


Penghakiman persetujuan direkodkan Hakim Datuk Anand Ponnudurai selepas Jamal membacakan permohonan maaf secara terbuka di mahkamah dengan Khairy turut hadir sepanjang prosiding.


Dalam permohonan maaf itu, Jamal mengakui kenyataan yang dibuatnya sebelum ini tidak benar, tidak berasas dan tiada bukti kukuh sehingga memberi gambaran buruk terhadap integriti serta kredibiliti Khairy sebagai pemimpin.


Beliau turut menarik balik semua kenyataan fitnah yang pernah dikeluarkan selain bersetuju memadam rakaman video sidang media serta kandungan berkaitan daripada akaun media sosial miliknya.


Terdahulu, Khairy memfailkan saman pada Mei 2023 dengan tuntutan melebihi RM1 juta selepas mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berkaitan isu pengundi hantu ketika PAU 2022.


Peguam mewakili kedua-dua pihak turut memaklumkan penyelesaian dicapai secara persetujuan bersama termasuk pembayaran kos yang tidak didedahkan jumlahnya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan