KUALA LUMPUR, 19 Mei 2026: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tampil membidas kritikan segelintir pihak yang mempertikai usaha MARA memperkasa pelajar tahfiz dalam bidang profesional termasuk juruterbang.
Menurut beliau, komen negatif yang tular di media sosial terhadap inisiatif itu jelas memperlekeh kemampuan golongan huffaz untuk berjaya dalam bidang akademik dan kerjaya berkemahiran tinggi.
“Apa mereka ingat pelajar tahfiz ini cikai-cikai ke?” katanya menerusi hantaran di media sosialnya.
Beliau berkata, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan kemampuan pelajar tahfiz apabila lapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab berada dalam kelompok 20 sekolah terbaik negara.
Tambahnya, seramai 221 pelajar huffaz MRSM berjaya memperoleh semua A termasuk dalam subjek kritikal seperti fizik, kimia, biologi dan matematik tambahan.
Asyraf menegaskan usaha memartabatkan golongan huffaz dalam bidang profesional akan terus diperkasakan selagi beliau menerajui MARA.
Tags
NASIONAL
