KUALA TERENGGANU, 18 Mei 2026: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada prinsipnya bersetuju agar Terengganu FC (TFC) terus kekal bersaing dalam saingan Liga Super Malaysia musim 2026/2027.
Makluman itu dikeluarkan menerusi satu kenyataan media di laman media sosial oleh Setiausaha Agung PBSNT, Encik Ahmad Shahrizal Yahaya.
Menurut kenyataan tersebut, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif PBSNT yang membincangkan hala tuju kelab serta perancangan jangka panjang pasukan.
PBSNT turut memaklumkan penstrukturan baharu melibatkan aspek pengurusan, kewangan, teknikal dan operasi akan dilaksanakan bagi membina pasukan lebih stabil dan mampan.
Selain itu, isu hutang terkumpul daripada musim terdahulu akan diberi keutamaan untuk diselesaikan secara berstruktur, di samping mengawal perbelanjaan semasa bagi mengukuhkan kedudukan kewangan kelab.
Dalam masa sama, pembangunan bakat tempatan dan pengukuhan tadbir urus pasukan akan terus diberi perhatian bagi memastikan TFC kembali lebih kompetitif pada masa hadapan.
Tags
SUKAN
