GUA MUSANG, 21 Mei 2026: Laluan lencongan sementara di Kilometer 45 Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau yang terputus akibat tanah runtuh sejak Disember lalu dibuka semula kepada pengguna bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pembukaan laluan itu memulihkan kembali hubungan jalan darat antara Kelantan, Pahang dan Perak yang terjejas sebelum ini.
Menurutnya, laluan sementara tersebut berjaya disiapkan hasil kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Kerja Raya selepas lawatan bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ke lokasi kejadian pada Februari lalu.
Beliau berkata, pembukaan jalan itu dijangka membantu merancakkan semula aktiviti ekonomi termasuk sektor pertanian, pelancongan dan logistik yang sebelum ini terkesan akibat penutupan laluan berkenaan.
Bagaimanapun, pengguna jalan raya diingatkan supaya memandu dengan berhati-hati kerana laluan tersebut hanya bersifat sementara selain perlu mematuhi arahan keselamatan sepanjang melalui kawasan itu.
Terdahulu, kejadian runtuhan tanah pada 3 Disember lalu dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah sehingga menyebabkan sebuah kereta terjatuh ke dalam gaung dan pemandunya cedera.
