PASIR MAS, 26 Mei 2026: Taktik menyeleweng penghantaran lembu sempena Aidiladha terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sebuah lori yang membawa jumlah lembu tidak sepadan dengan dokumen kelulusan di Jalan Banggol Ara, Isnin lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang menerusi Op Taring Wawasan, anggota Strike Force Kompeni C Batalion 7 PGA Kuantan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bersama 13 ekor lembu dan sebuah lori Isuzu.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan mendapati suspek mengemukakan surat kebenaran penghantaran 20 ekor lembu ke Kota Bharu, namun hanya 13 ekor ditemui dalam lori terbabit.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan keraguan apabila tujuh lagi lembu dipercayai telah dihantar ke lokasi lain yang tidak dinyatakan dalam dokumen kelulusan.
“Suspek mendakwa diarahkan majikannya untuk menghantar lembu berkenaan bagi memenuhi permintaan tinggi sempena Aidiladha,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan semua rampasan bernilai kira-kira RM152,000 telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemantauan di kawasan sempadan dan laluan utama akan dipertingkatkan bagi membanteras penyelewengan penghantaran haiwan ternakan menjelang musim perayaan.
Tags
DALAM NEGERI
