KUALA NERUS, 9 Mei 2026: Kekalahan Terengganu FC 1-3 kepada Imigresen FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi nyata mengecewakan penyokong skuad Penyu.
Rata-rata peminat meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial sejurus tamat perlawanan, malah ada yang mendakwa prestasi dipamerkan pasukan terlalu hambar dan tidak menunjukkan semangat untuk menang.
Antara komen yang mencuri perhatian termasuk gesaan supaya TFC “main Liga A1 musim depan” selain ada yang menyifatkan mereka lebih rela menonton hoki berbanding aksi pasukan itu malam tadi.
Tidak kurang juga yang menyalahkan jurulatih dan pengurusan pasukan susulan prestasi kurang konsisten TFC musim ini. Ada penyokong mendakwa pemain gagal fokus selain tiada ‘urgency’ sepanjang perlawanan berlangsung.
Kekalahan kedua berturut-turut itu terus menambah tekanan buat TFC yang kini dilihat semakin bergelut untuk kembali berada dalam kelompok terbaik Liga Super musim ini.
