KUNDASANG, 23 Mei 2026: Kerajaan bersetuju memperluas kelayakan subsidi diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan bermula 1 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri pada 20 Mei lalu bagi membantu lebih ramai pengusaha pengangkutan menikmati subsidi bahan api.
Menurut beliau, sebelum ini kelayakan tersebut hanya diberikan di kawasan Cameron Highlands, namun kini diperluaskan ke seluruh negara.
Katanya, pemilik kenderaan individu yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan barangan perlu mendaftarkan syarikat atau perniagaan mereka serta menukar hak milik kenderaan kepada syarikat melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi melayakkan permohonan.
Dalam masa sama, kerajaan turut menetapkan kuota tetap penggunaan diesel subsidi menerusi fleet card antara 900 hingga 5,000 liter sebulan mengikut jenis kenderaan, berkuat kuasa 1 Jun ini.
“Sekiranya syarikat memerlukan kuota tambahan, rayuan boleh dibuat kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum di bawah KPDN,” katanya pada sidang media mengenai penambahbaikan pelaksanaan SKDS.
Sehingga 20 Mei lalu, sebanyak 179,716 syarikat melibatkan lebih 432,000 kenderaan telah menerima manfaat subsidi petrol dan diesel menerusi SKPS dan SKDS di seluruh negara.
Tags
NASIONAL
