TUMPAT, 8 Mei 2026: Sebuah premis dobi di Pasar Besar Wakaf Bharu mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah kereta jenis Honda City yang dipercayai hilang kawalan akibat pemandunya tersalah menekan pedal minyak, semalam.
Kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu melibatkan seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang dikatakan memandu dari arah Jalan Puteri Saadong sebelum membuat pusingan-U berhampiran premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai tidak sengaja menekan pedal minyak ketika melakukan pusingan-U menyebabkan kereta dipandunya meluru lalu merempuh pintu kaca hadapan premis dobi tersebut.
Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu walaupun bahagian hadapan premis mengalami kerosakan.
Polis menerima laporan daripada pemilik premis lelaki berusia 32 tahun kira-kira jam 12.40 tengah hari dan kes kini disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.
Tags
PANTAI TIMUR
